Jalan raya Kuala Besut SIBUK

 
23.7.2013 (Selasa) KUALA BESUT - Rata-rata penduduk di Dun Kuala Besut mengakui terkejut dan seronok dengan kehadiran pelbagai pihak membanjiri kawasan tersebut hingga menyebabkan kesesakan lalu-lintas, bermula seawal pagi hingga petang sejak hari penamaan calon.


Peniaga, Zaleha Hussain, 30, berkata, ia pengalaman kali pertama sepanjang 30 tahun menetap di kawasan berkenaan.

Zaleha berkata, sebelum ini kebiasaannya jalan di sekitar Kuala Besut tidak sesak namun suasananya ternyata berbeza sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut.

“Selalunya di sini memang sunyi, cuma pada bulan Ramadan agak sesak sedikit bila waktu petang tetapi kali ini memang jalan sibuk sepanjang hari.

“Terkejut juga dengan keadaan ini tetapi memang seronok juga sebab sibuk,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Zaleha yang menjalankan perniagaan kedai makan mengakui kehadiran orang daripada seluruh negara menambah rezeki pendapatannya.

Sementara itu, pemandu kereta sewa, Mat Yasin Mat Jusoh, 63, berkata, dia juga turut merasai suasana sibuk di Kuala Besut.

Menurutnya, dia mendapati banyak kenderaan di jalan raya berbanding sebelum ini.

“Bila nak pergi Kuala Besut memang agak sibuk lagipun jalan sempit hanya mempunyai dua lorong “ katanya.

Suri rumah, Siti Maria Omar, 63, pula berkata, dia seronok dengan kehadiran ramai orang ke Kuala Besut kerana dapat mendengar pelbagai dialek berbeza.

Ketika ditanya mengenai kesesakan lalu-lintas, Siti Maria berkata, situasi sekarang memang sangat berbeza.

“Rasa seronok juga orang luar datang tempat kita kerana dapat jumpa ramai orang sehingga kadang-kadang saya tak faham apa yang dituturkan.

“Mengenai kesesakan lalu lintas, memang sekarang bila nak lintas terasa banyak kereta,” katanya.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2013. Wira Perdana - All Rights Reserved
Template Created by ThemeXpose | Published By Gooyaabi Templates