Reaksi Masyarakat Terhadap Bajet 2013



Perkara yang baik umpama “benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau”. Bajet 2013 merangkumi kebajikan pelbagai peringkat umur, maka ianya perlu disajikan dengan ditambahbaik atur perlaksanaannya selari menteliti Negara maju.

Pada 28hb September 2012 (Jumaat) Perdana Menteri Malaysia YAB (Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak) telah membentangkan Bajet 2013 bertemakan “Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat : Sebuah Janji Ditepati”. Rata-rata rakyat bersyukur dan berterima kasih kepada YAB PM dan menerima bajet ini dengan senang hati kerana ia memudahkan pelbagai lapisan rakyat.


Kerajaan berbesar hati memberi sekali lagi BR1M kepada yang berpendapatan di bawah RM3,000 seperti tahun sudah sebanyak RM500, dan penambahan penerima kepada individu bujang berumur lebih 21 tahun berpendapatan kurang dari RM2,000 dengan jumlah RM250. Di samping itu juga, penjawat awam mendapat bonus 1 1/2 bulan gaji di atas menghargai hasil kerja mereka melicinkan pentadbiran kerajaan.

Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang selama ini merasakan seolah-olah dipinggirkan oleh kerajaan mendapat Elaun Insentif RM200 merasa terharu dan akan menambahkan semangat dan moral kepada mereka untuk terus berkhidmat dan menabur bakti demi negara Malaysia yang dicintai.

Golongan muda yang merupakan pengundi penentu kemenangan sesebuah parti pada PRU 13 sangat gembira dengan pengumuman diskaun. Serba sedikit membantu peminjam PTPTN untuk melangsaikan hutang mereka. Selain itu, mereka juga menikmati baucer buku dari RM200 ke RM250, potongan pinjaman PTPTN sebanyak 10% - 50% serta baucer pembelian telefon bimbit sebanyak RM200 dan pemberian kepada pelajar sekolah sebanyak RM100.

Namun, di sebalik penerimaan baik terhadap Bajet 2013, terdapat juga rungutan mengenai penurunan subisidi gula sebanyak 20 sen. Orang ramai yang ditemui berasa kurang senang dengan penurunan subsidi gula sebanyak 20 sen kerana perkara ini akan menyebabkan harga makanan dan barang-barang keperluan melonjak naik walaupun golongan seperti ini di sajikan dengan BR1M tetapi kenaikan harga gula di pasaran akan menjadi faktor kenaikan harga barang lain.

Bagi penyokong tegar pembangkang, biar apa pun yang kerajaan Barisan Nasional (BN) berikan, pada PRU13 belum pasti lagi akan memangkah BN. Ini kerana sememangnya sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membela nasib rakyat, jadi tidak semestinya mereka akan memilih BN pada PRU13 nanti.

Walau bagaimanapun, Bajet 2013 tetap diterima oleh masyarakat pelbagai golongan kerana ianya memberi kebaikan dan meringankan beban sara hidup rakyat.

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2013. Wira Perdana - All Rights Reserved
Template Created by ThemeXpose | Published By Gooyaabi Templates